suria

Catuan Air Di JB & Kota Tinggi Diteruskan

-Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Masalah kekurangan air yang berpanjangan di sini dan Kota Tinggi belum berakhir dan pengagihan air berjadual akan berterusan sehingga bulan Disember.

Syarikat konsesi air SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) berkata telah mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melanjutkannya dari 16 November hingga 15 Disember memandangkan dua empangan di sini menunjukkan paras air pada tahap kritikal.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Jamaluddin Jamil berkata, mereka terpaksa mengambil beberapa langkah terutamanya terhadap keadaan yang semakin teruk di empangan Sungai Lebam, yang hanya mencatatkan paras air 8.19 meter.

Empangan lain di Sungai Layang yang terjejas membekalkan air kepada 580,000 pengguna di Pasir Gudang dan Masai, kebanyakannya pengguna industri dan beberapa bahagian di Johor Baru.

Empangan Sungai Lebam di Kota Tinggi menyalurkan air kepada kira-kira 66,496 pengguna di Mukim Tanjung Surat, Mukim Pantai Timur, Mukim Pengerang dan beberapa bahagian di Kota Tinggi.

Jamaluddin berkata hujan beberapa hari lalu gagal untuk mengembalikan paras air di dua empangan itu, memaksa agihan air secara berkala dilanjutan.

"Bagaimanapun, jika paras air di empangan kembali ke paras normal dan tidak kritikal, langkah pengagihan air berjadual akan dibatalkan.

"Kami akan terus memantau keadaan dan memastikan pengguna dikemaskini mengenai perkembangan terkini," katanya.

Jamaluddin berkata antara langkah yang diambil oleh SAJ untuk meningkatkan paras air di dua empangan itu ialah melakukan pembenihan awan dan memindahkan air mentah dari Sungai Papan ke Empangan Sungai Lebam dan juga dari Sungai Tiram ke Empangan Sungai Layang.

Pengagihan air berjadual bermula pada 16 Ogos sehingga 15 September sebelum ia dilanjutkan sebanyak dua kali sehingga bulan November kerana paras air semakin teruk di kedua-dua empangan itu.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 1 800 88 7474 (Pusat Info SAJ), SMS ke 019-772 7474 atau e-mel [email protected]
catuan air, SAJ, Span

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain