suria

Mekanik Tidak Percaya Bekas Majikan Pembunuh

Xavier sedang membaiki kereta di bengkelnya di Jalan Pahang, Tapah.

TAPAH: Seorang bekas pekerja kepada suspek utama kes pembunuhan empat individu di sini tidak percaya bekas majikannya itu boleh melakukan perbuatan jenayah kejam tersebut.

Xavier Thomas, 36, yang bekerja sebagai mekanik berkata suspek sentiasa memberi layanan yang baik sepanjang tempoh dua tahun bekerja di bengkel suspek di Kampar pada 1998.

Sebaik sahaja tamat sekolah, Xavier berkata dia kembali ke kampung halamannya selepas gagal mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia bertemu dengan suspek dan diambil bekerja di bengkel miliknya.

"Kebanyakan teknik membaiki kenderaan yang saya ketahui hari ini banyak dipelajari daripadanya. Dia ada kalanya mengajak saya makan tengah hari dan menghantar saya pulang ke rumah di Kampung Banir.

"Oleh itu saya terkejut apabila mendapat tahu berita mengenai penahanannya. Saya tidak percaya bahawa dia boleh membunuh seseorang, apatah lagi empat individu," katanya ketika ditemui di sebuah bengkel miliknya yang terletak di Jalan Pahang di sini, Ahad.

Xavier berkata dia berhenti kerja selepas dua tahun kerana suspek lebih fokus dalam membaiki bas dan lori manakala dia lebih gemar membaiki kereta.

"Saya mahu membuka perniagaan sendiri. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membuka bengkel membaiki kereta," katanya.

Xavier berkata dia sering terlihat suspek melalui bengkelnya semasa mengambil dan menghantar anak perempuannya pergi dan balik ke sekolah.

"Kami sentiasa bertegur sapa setiap kali terserempak antara satu sama lain," katanya.

Xavier berkata kali terakhir dia bertemu dengan suspek kira-kira seminggu sebelum lelaki itu dan keluarganya ditahan pada 26 Oktober lalu.

"Saya menghantar seorang pelanggan ke bengkelnya kerana dia mahu membaiki lori yang rosak," kata Xavier.

Ditanya sama ada dia menyedari kepulan asap dari bengkel lelaki itu kerana suspek dipercayai membakar mayat mangsa, Xavier berkata agak sukar untuk mengetahui sumber asap dari lokasi bengkelnya.

"Terdapat banyak bengkel di tepi jalan dan kepulan asap bukan sesuatu yang luar biasa," katanya.


kes bunuh Tapah, Jalan Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Lain