Empat Individu Gagal Halang Abdul Hadi Bentang Hudud Di Parlimen - Semasa | mStar

Empat Individu Gagal Halang Abdul Hadi Bentang Hudud Di Parlimen

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Empat individu gagal menghalang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang rang undang-undang berkaitan hudud di Parlimen.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Abdul Hadi dan empat yang lain untuk membatalkan saman tersebut atas alasan individu berkenaan tiada locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) berbuat demikian.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri kesemua pihak.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi memberitahu pemberita bahawa Hakim Asmabi juga menyatakan bahawa sebagai anggota Parlimen, Abdul Hadi telah mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan Akta Parlimen.

Selain Abdul Hadi, empat individu tersebut iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz,Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan.

Mereka memfailkan saman pemula itu pada 12 Jun lepas bagi mencabar pembentangan Rang Undang-undang Persendirian iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. 

Keempat-empat individu itu turut memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.

Tambah Takiyuddin, hakim juga menyatakan bahawa keempat-empat individu berkenaan sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

"Mahkamah menerima hujah bahawa kaedah yang diambil oleh plaintif adalah tidak betul kerana sepatutnya melalui semakan kehakiman. Mahkamah juga bersetuju bahawa plaintif tidak menunjukkan bahawa mereka ini mempunyai hak untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana tiada di dalam mana-mana dokumen menjelaskan siapa mereka ini.

"Malah daripada empat plaintif, hanya satu plaintif (Mansoor) yang membuat afidavit dan mewakili tiga yang lain, sama ada mereka pengundi berdaftar atau ahli Pakatan Rakyat.

"Mahkamah juga mendapati plaintif tidak mempunyai locus standi dalam mengambil tindakan ini dan tuntutan yang dibuat adalah pramatang serta hanya andaian semata-mata. Ia menyalahguna proses mahkamah,' katanya.

Takiyuddin berkata mahkamah juga bersetuju bahawa menurut Akta Relif Spesifik 1950, tiada sesiapa yang boleh menyekat anggota Parlimen untuk membawa sesuatu perkara dan usul untuk dibentangkan.

"Hakim turut bersetuju bahawa Akta Prosiding Kerajaan 1956 menetapkan bahawa kakitangan kerajaan tidak boleh dikenakan perintah injunksi. Ia merujuk kepada setiausaha dewan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili empat lagi defendan memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan tersebut Abdul Hadi boleh membentangkan rang undang-undang berkenaan tanpa sebarang halangan. - Bernama

Hudud , Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

Artikel Lain