suria

Istilah Pendatang: MCA Tegur Ketua Pengarah BTN

PETALING JAYA: MCA menegur Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali di atas kenyataannya bahawa tiada apa yang salah menyifatkan Cina, India dan beberapa kumpulan lain sebagai 'pendatang'.

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Wee Jeck Seng berkata kenyataan sedemikian amat mengecewakan dan menunjukkan Raja Arid seorang yang jahil mengenai maksud patriotisme.

"Masyarakat Cina dan India adalah rakyat di negara ini. Malaysia ditubuhkan hasil usaha keras dan ketekunan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan kaum lain yang berjuang menuntut kemerdekaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Raja Arif dipetik sebagai berkata tiada salahnya istilah pendatang sekiranya ia digunakan untuk menggambarkan Cina dan India di negara ini apatah lagi ia merupakan fakta sejarah.

“Tiada apa yang salah dengan perkataan itu (pendatang). Pendatang diterjemah kepada bahasa Inggeris imigran, betul atau tidak?," katanya.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata Malaysia adalah milik semua kaum dan tiada mana-mana kaum patut dilabelkan sebagai pendatang.

"Rakyat Malaysia yang dilahirkan dan dibesarkan di sini adalah warganegara Malaysia. Kesetiaan kita kepada Malaysia tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi dipadamkan.

"Ini adalah fakta sejarah dan semangat kesederhanaan, inklusif dan kepelbagaian diambil kira dalam merangka dan kemudian termaktub dalam perlembagaan persekutuan," katanya.

Beliau berkata Raja Arif tidak bersifat profesional kerana beliau jelas bertentangan dengan kenyataan awal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rakyat Malaysia tidak harus dilabelkan sebagai pendatang.

Wee berkata gesaan Raja Arif mengenai sistem pendidikan satu aliran yang didakwanya boleh meningkatkan perpaduan negara jelas menunjukkan kejahilan beliau.

Katanya, tiada bukti bahawa mana-mana negara mengamalkan sistem pendidikan satu aliran benar-benar menyatukan semua kaum.

pendatang, BTN, MCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain