suria

Serbuan Tak Halang Operasi Kedai Vape

SHAH ALAM: Kedai menjual vape di sekitar bandaraya ini didapati beroperasi seperti biasa walaupun ada diantaranya diserbu pihak berkuasa Kementerian Kesihatan beberapa hari lalu.

Menerusi tinjauan yang dilakukan pada Sabtu, beberapa premis berkenaan tetap didatangi pelanggan, manakala stok perlu ditambah untuk memenuhi permintaan.

Seorang pekerja kedai vape yang dikenali sebagai Liyana, 20 berkata, waktu operasi perniagaan tidak terjejas  walaupun selepas diserbu pada Khamis.

"Kedai kami buka seperti biasa selepas diserbu.

"Malah permintaan semakin menggalakkan dan pelanggan masih tidak putus-putus datang ke kedai kami," katanya ketika ditemui mStar Online.

Jelas Liyana, serbuan tanpa sebarang notis baru-baru ini menyebabkan premis vape itu mengalami kerugian mencecah RM100,000.

"Keseluruhannya 3,800 botol perisa vape dirampas," ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan seharusnya mengkaji dan mempertimbangkan semula garis panduan jualan vape dan kandungan perisa yang berasaskan nikotin.

Seorang pengguna vape yang dikenali sebagai Haqim pula meluahkan rasa tidak puas hati dengan rampasan yang dilakukan pihak berkuasa baru-baru ini.

"Saya terkilan dengan tindakan menyerbu kedai vape selepas kerajaan putuskan untuk tidak mengharamkan vape.

"Kebanyakan yang mengusahakan kedai vape ini adalah golongan belia melayu," katanya yang berusia 28 tahun itu.

vape, Kementerian Kesihatan

Artikel Sebelum

Artikel Lain