suria

Kedai Vape Diserbu, Kerugian Cecah Jutaan Ringgit

PETALING JAYA: Pemilik kedai vape dikejutkan dengan kehadiran Kementerian Kesihatan yang melakukan serbuan di seluruh negara yang didakwa menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Di Selangor, lebih 300 kedai vape diserbu pada Khamis.

"Kedai diserbu, barang dirampas dan saman turut dikeluarkan. Beberapa kedai hilang beberapa produk mereka manaka terdapat peniaga yang kehilangan semua barang mereka," kata Presiden Malaysian Organisation of Vape Entities (MOVE) Samsul Kamal Ariffin.

Beliau berkata serbuan itu tidak adil kerana vape digunakan sebagai alternatif kepada kebanyakan perokok tegar untuk menghentikan tabiat merokok.

"Jika mereka benar-benar prihatin supaya orang ramai mahu berhenti merokok, mengapa mereka akan menghabiskan begitu banyak dalam kempen anti merokok tetapi melumpuhkan perniagaan mereka yang mahu membantu orang lain menghentikan tabiat itu?," soalnya.

Antara kedai yang diserbu adalah salah satunya di Shah Alam berikutan penemuan produk yang mengandungi nikotin.

Pemilik kedai itu berkata pegawai kementerian tersebut merampas kira-kira 3,000 botol cecair vape dengan nilai dianggarkan berjumlah RM100,000.

"Mereka datang kira-kira pukul 4 petang dan menunjukkan surat kepada kami bahawa serbuan dilakukan disebabkan cecair vape yang dijual mengandungi nikotin," katanya.

Pemilik kedai itu turut mendakwa dia tidak mendapat penjelasan jelas daripada pegawai tersebut mengenai cara bagaimana mereka boleh mendapatkan semula produk berkenaan.

"Mereka hanya beritahu saya untuk cuba bercakap dengan bos mereka jika mahu barang itu dikembalikan," katanya.

Seorang pemilik kedai di Kuala Lumpur berkata dia menutup kedai miliknya selepas menerima maklumat mengenai serbuan itu dan akan ditutup sehingga notis diberitahu kelak.

"Jika anda mahu merampas produk kami, sekurang-kurangnya beri kita amaran dengan adil. Serbuan tidak menjejaskan perniagaan kami. Kami masih boleh terus menjual vape tetapi akan menjualnya secara senyap-senyap.

"Transaksi masih boleh berlaku, hanya tanpa kedai. Kami akan menjualnya secara dalam talian," katanya.

Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan berkata serbuan dan rampasan telah dilakukan untuk memantau kandungan cecair vape yang mengandungi nikotin di pasaran.

"Sebab lain ialah mereka kebanyakannya tidak mempunyai lesen sah dari kementerian," kata pegawai itu.



Artikel Sebelum

Artikel Lain