suria

Langkah Waspada Diambil Elak Insiden Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Kawasan cerun berisiko di seluruh negara kini menjadi tumpuan utama semua pihak memandangkan tibanya musim tengkujuh yang meningkatkan lagi risiko insiden hakisan serta tanah runtuh.

Kebanyakan pemaju di seluruh negara diarahkan untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan mereka, khususnya untuk projek di kawasan cerun berisiko tinggi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil langkah awal terhadap kawasan cerun berisiko tinggi dan berbukit di seluruh negara.

"Kami telah melakukan pemeriksaan ke atas cerun di sepanjang jalan yang dianggap berbahaya dan membaiki kawasan cerun yang mengalami hakisan tanah kecil bagi memastikan hakisan lebih besar tidak berlaku.

"Kami turut membersihkan longkang dan melakukan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya. Namun kaedah ini mungkin tidak selalunya membuahkan hasil kerana kadang kala sukar untuk mengenal pasti tanda-tanda keadaan cerun yang tidak stabil," katanya.

Fadillah berkata majoriti kawasan cerun direka pada masa lalu tidak mengambil kira keperluan penyelenggaraan sekali gus menjadikan ia kawasan berbahaya.

Katanya, cerun haruslah diperiksa, kukuh dan diselenggara dengan kerap tetapi ia memerlukan belanja yang banyak dan kementerian tidak mempunyai dana untuk tujuan tersebut.

Dilaporkan terdapat lebih 600 kawasan cerun berisiko di sekitar Kuala Lumpur.

Fadillah berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi untuk membangunkan sistem amaran awal tanah runtuh bagi mengelak kemungkinan berlaku sebarang bencana yang boleh meragut nyawa semasa musim tengkujuh.

Sistem tersebut membolehkan pihak berkuasa meramal hujan di kawasan berisiko, kira-kira dua hingga tiga jam lebih awal.

"Dengan sistem itu, amaran awal boleh dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda akan berlaku hakisan. Jabatan Kerja Raya juga berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berhubung maklum balas kecemasan semasa bencana alam," katanya.

SlopeWatch, sebuah pertubuhan berasaskan komuniti mengenai keselamatan tanah runtuh dan cerun berkata, orang ramai perlu memantau keadaan persekitaran mereka semasa musim hujan.

Pengerusinya, Abdul Razak Bahrom berkata penduduk harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa tempatan.

"Apabila hujan turun, beberapa tanda yang perlu dititik-beratkan termasuk air berwarna coklat yang mengalir dari bukit atau kehadiran batu-batu di atas tanah.

"Sebagai penduduk yang sudah biasa dengan keadaan persekitaran, mereka adalah pemantau terbaik terhadap sebarang perubahan cerun di sekitar kediaman mereka. Pihak berkuasa tempatan tidak mampu memantau setiap kawasan di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Di sesetengah kawasan yang sudah berdepan hujan lebat, orang ramai mula bimbang mengenai keadaan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Mulia, Amin Osman berkata kira-kira 900 penduduk di rumah teres dua tingkat dan kondominium di sini amat bimbang sekira berlakunya insiden tanah runtuh di kawasan tersebut.

Ini berikutan insiden tanah runtuh pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun lalu yang meragut kehilangan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Artikel Sebelum

Artikel Lain