suria

Mangsa Amukan Suami Di Marang Kini Stabil

Mangsa berusia 26 tahun diserang suaminya di rumah pada pagi Rabu.

HULU TERENGGANU: Mangsa amukan suami sendiri kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya masih menunggu mangsa yang berusia 26 tahun itu sedar bagi mengambil keterangan dan membantu siasatan kes tersebut.

Katanya siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya masih mengenal pasti punca utama kejadian itu sehingga suaminya bertindak agresif mencederakan isteri dan diri sendiri.

"Mangsa kini stabil dan masih dalam rawatan dan kita akan mengambil keterangan mangsa sebaik selesai menjalani rawatan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Pada Rabu,  seorang wanita parah selepas menjadi mangsa amukan suaminya dalam kejadian di Kampung Gong Beris, Marang dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi.

Dalam insiden itu suaminya Mohd Dzulkifli Ismail yang bekerja sebagai buruh kontrak bertindak menikam belakang isterinya sebelum mengelar leher sendiri menggunakan pisau dan maut di tempat kejadian.

Ekoran kejadian itu wanita berkenaan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian belakang badan serta luka di pipi kiri serta kedua-dua tanganya.

Mangsa Amuk, Marang

Artikel Lain