suria

Kontrak CEO Mara Inc Tidak Disambung

Jawatan Mohammad Lan Allani sebagai Pengerusi Mara Incorporated turut ditamatkan.

KUALA LUMPUR: Selepas digantung tugas, kini kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mara Incorporated Sdn. Bhd, Datuk Abd Halim A Rahim tidak diperbaharui, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu menurut Ismail Sabri, status jawatan Pengerusi Mara Incorporated Sdn. Bhd, Datuk Mohammad Lan Allani juga ditamatkan.

“Sebelum ini Mara Incorporated Sdn. Bhd telah menggantung perkhidmatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya.

“Namun selepas itu kontrak perkhidmatan ketua pegawai eksekutif juga tak disambung,” kata Ismail Sabri ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini, pada Julai lalu Mara mengumumkan kedua-dua orang kanan Mara Incorporated Sdn. Bhd berkenaan digantung tugas susulan kontroversi pembelian bangunan Dudley International House di Melbourne, Australia, yang didakwa diperoleh pada harga jauh lebih tinggi daripada pasaran.

Sementara itu,  Ismail Sabri ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat berkata, keputusan supaya kontrak CEO Mara Incorporated Sdn. Bhd tidak disambung dibuat pada 1 Oktober lalu.

“Pada 8 November ini akan diadakan mesyuarat lembaga pengarah bagi menentukan CEO dan pengerusi yang baharu.

“Kita sudah ada calon pengganti, ia akan diputuskan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain