suria

Kedatangan Obama Bukan Untuk Beri Tekanan Tandatangani TPPA - Reezal Merican

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyangkal dakwaan kononnya kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia pada 20-22 November ini adalah untuk memberi tekanan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau berkata, kedatangan Obama juga bukanlah bertujuan untuk memberi tekanan terhadap apa-apa perjanjian melibatkan pembelian pesawat mahupun senjata.

"Untuk makluman, tujuan kedatangan Obama pada 20 hingga 22 November ini adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean-AS ketiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata, semasa lawatan, Presiden Amerika Syarikat itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan perkara seperti perkembangan hubungan kerjasama dua hala serta kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.-- Bernama


Artikel Sebelum

Kedai Vape Diserbu Di Shah Alam

Artikel Berikut

Artikel Lain