suria

Mangsa Banjir Tagih Derma, Enggan Pindah - MP PAS

KUALA LUMPUR: Sikap mahu terus menagih simpati adalah antara punca sebilangan mangsa banjir di Kelantan masih menetap di khemah penempatan sementara.

Menurut Ahli Parlimen Kota Baru daripada PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, sikap enggan berpindah ke rumah transit yang disediakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan memberi persepsi negatif di kalangan masyarakat.

“Keadaan sebenarnya ialah mangsa-mangsa ini sendiri ditawarkan rumah sementara untuk dipindahkan, tetapi mereka tidak mahu pergi.

“Sebahagian besar beranggapan kalau mereka (terus) duduk dalam khemah, ramai orang datang bagi derma.

“Itu sikap mereka sendiri yang kadang-kadang susah untuk sama ada kerajaan pusat atau negeri ubah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Kenyataan Takiyuddin itu senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung sikap sebilangan mangsa banjir yang berkeras mahu terus berada di khemah meskipun  ditawarkan berpindah ke kediaman sementara di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Ini saya akui, mereka berkeras nak tinggal di khemah. Mereka diberi tawaran untuk duduk di kem PLKN, tetapi mereka enggan.

“Mereka nak tinggal di khemah, dekat dengan jalan besar dan lebih terbuka, simpati orang ramai juga luar biasa. Kita minta pindah, tetapi mereka enggan, tetap nak (tinggal) dalam khemah,” katanya sebagai respond kepada kenyataan Takiyuddin.

Takiyuddin Hassan, PAS, banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Paul Stadlen Dapat Status PR

Artikel Lain