suria

16 Lokasi Layar Gergasi Tonton Final AFC

Layar gergasi yang dipasang di Dataran Bandaraya Johor Baru sempena Final AFC antara JDT dan FC Istiklol, Sabtu.

JOHOR BARU: Peminat bola sepak berpeluang berkumpul beramai-ramai menyaksikan final Piala AFC antara Johor Darul Takzim (JDT) dan  FC Istiklol esok menerusi layar gergasi di beberapa lokasi di negeri ini.

Ketika ini, semua pihak berkuasa tempatan sibuk memasang layar gergasi di 16 lokasi terpilih bagi membolehkan peminat JDT menyaksikan perlawanan bersejarah apabila skuad itu menjadi pasukan pertama negara mara ke final Piala AFC menentang kelab dari Tajikistan.

Bernama difahamkan, antara lokasi terpilih ialah Dataran Bandaraya Johor Baharu, Medan Selera Jalan Kebudayaan 8, di Taman Universiti, Dataran Penggaram Batu Pahat dan Dataran Tasik Kluang.

Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai juga dilaporkan melakukan perkara sama, masing-masing di Dataran AL Hamra, Menara Aqabah dan Southern Tigers Hub, Bandar Putra.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu, A.Rahim Nin, selain menayangkan siaran langsung perlawanan itu, pihaknya turut mengadakan pelbagai  aktiviti sampingan.

Antaranya perlawanan bola sepak persahabatan veteran JDT, cabutan tiket bertuah, kuiz dan jualan barangan JDT, katanya.

"Aktiviti itu bermula seawal pukul 10 pagi manakala siaran langsung perlawanan adalah pada pukul 8 malam," kata A.Rahim ketika ditemui, baru-baru ini.

Malah katanya, MBJB turut memberi kelonggaran kepada orang ramai membakar bunga api, sekiranya JDT memenang perlawanan itu.

"Kalau JDT menang, ia menjadi sejarah baharu buat Malaysia dan Johor bangga dengan pencapaian sebegitu," katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Dr Badrul Hisham Kassim yang dihubungi berkata, pihaknya akan menutup dua jalan utama esok iaitu Jalan Kebudayaan 8 dan Taman Universiti bersempena tayangan perlawanan berkenaan.

Ia akan ditutup dari pukul 5 petang sehingga 11 malam, katanya.

Seperti MBJB, MPJBT juga menyediakan aktiviti sampingan termasuk cabutan hadiah bertuah melibatkan barangan JDT seperti jersi, pelekat dan hamper.

Skuad Harimau Selatan kendalian Mario Gomez dijadualkan menentang FC Istiklol di Stadium Central Republican, Dushanbee Tajikistan pada pukul 5 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) esok.--Bernama


AFC, JDT, FC Istiklol

Artikel Berikut

Artikel Lain