suria

Pesawah Dijangka Guna Benih Padi Versi Baharu MR284 Tahun Depan

TASEK GELUGOR: Semua pesawah dijangka menggunakan benih padi varieti baharu iaitu MR284 pada tahun depan kerana ia meningkatkan lagi hasil padi mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata benih baharu padi itu mempunyai ciri-ciri yang diperlukan bagi menambah pendapatan pesawah.

"Berdasarkan tinjauan, mereka (pesawah) bersedia menggunakan MR284 pada tahun depan dan varieti-varieti padi yang lain seperti MR219 dan MR269 masih digunakan, cuma kami galakkan pesawah guna varieti baharu berdasarkan potensi yang ada padanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra Bersama Peladang dan Nelayan Parlimen Tasek Gelugor di sini, Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tasek Gelugor.

Tajuddin juga berkata, benih baharu yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan selama 13 tahun oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu mempunyai kerintangan yang lebih baik terhadap penyakit  karah daun dan sederhana rintang terhadap bena perang.

Katanya pokok padi varieti ini juga lebih tegap batangnya dan masalah padi rebah juga dapat diatasi dengan penggunaan varieti MR284 ini.

"Berdasarkan kepada potensi hasil yang tinggi, pesawah perlu mengambil peluang untuk menanam varieti ini dan pesawah juga perlu melaksanakan pakej pengurusan pengeluaran MR284 yang khusus untuk mendapatkan hasil yang diinginkan," katanya.

Beliau berkata benih padi varieti MR 284 itu telah diuji di plot-plot sawah di Seberang Prai, Pulau Pinang; Pendang di Kedah, Tanjong Karang di Selangor dan Parit, Perak.

"Hasil tertinggi yang pernah dicatatkan ialah 9.2 tan sehektar dan sesuai ditanam pada pelbagai persekitaran di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang memohon peruntukan RM49.5 juta bagi rancangan pembangunan untuk negeri ini menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Katanya peruntukan itu akan digunakan untuk lapan projek bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi dalam kawasan IADA Pulau Pinang dalam usaha mencapai hasil purata 8 tan sehektar menjelang tahun 2020.

"Peruntukan untuk perancangan itu membabitkan satu projek sambungan iaitu pembangunan punca air dan menaik taraf sistem pengairan dan saliran di Pokok Tampang dan Padang Menora di sini.

"Tujuh lagi adalah projek baharu iaitu membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran, pengukuhan tebing dan kerja berkaitan parit sungai, menaik taraf rumah pam dan kerja mekanikal serta elektrikal," katanya.-- Bernama


padi, MR284, Mardi

Artikel Lain