suria

Tiada Tanda Jerebu Bakal Berakhir

KUALA LUMPUR: Situasi sekolah ditutup, penyakit berkaitan pernafasan semakin meningkat dan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau dilewatkan bakal menjadi keadaan biasa dalam tempoh lima bulan akan datang berikutan keadaan jerebu yang teruk.

Menurut pakar, kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan penularan asap jerebu ke seluruh Asia Tenggara dilihat tidak akan berkesudahan sehingga tahun depan, demikian lapor agensi berita Reuters.

Walaupun Indonesia menerima tekanan daripada negara-negara jirannya, penganalisi menganggarkan jumlah titik panas yang semakin meningkat di bahagian timur negara itu akan berlarutan sehingga awal tahun depan.

"Mungkin ia akan berlarutan sehingga Disember dan Januari," kata Herry Purnomo, seorang saintis di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa yang berpengkalan di Bogor, Indonesia.

Tambahnya kawasan panas kini merebak ke Papua iaitu sebuah kawasan yang biasanya tidak berlaku kebakaran.

"Ia disebabkan pembukaan kawasan pertanian baharu seperti kelapa sawit," katanya.

Sementara itu seorang pegawai kanan di sebuah syarikat yang aktif di kawasan hutan Indonesia berkata jerebu boleh berlanjutan sehingga Mac.

Indonesia biasanya memasuki musim hujan pada bulan Oktober dan November, tetapi tahun ini negara itu dijangka menghadapi fenomena El Nino peringkat sederhana yang menyebabkan keadaan kering sehingga Disember dan menghalang usaha-usaha untuk mengawal kebakaran.

Agensi pengurusan bencana Indonesia sebelum ini beberapa kali membuat ramalan mengenai tempoh untuk mengawal kebakaran hutan, namun ia berakhir tanpa sebarang penyelesaian.

Terbaharu republik ini mensasarkan kebakaran dapat dikawal pada awal bulan depan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha manusia tidak cukup untuk memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Jerebu, Kebakaran Hutan

Artikel Sebelum

Ibu Bapa Ragu Bacaan IPU

Artikel Lain