suria

Pengerusi PAC Sambut Kritikan Kit Siang Dengan 'Terima Kasih'

KUALA LUMPUR: Kritikan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin disambut dengan ucapan ‘terima kasih’.

Hasan berkata, Kit Siang telah memberikan ‘nasihat pantas dan tuisyen percuma’ kepada beliau mengenai cara-cara mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya melihat dua perkara dalam kenyataan Lim Kit Siang terhadap saya.

"Pertama ia adalah kenyataan politik dan kedua adalah nasihat pantas dan tuisyen percuma. Terima kasih Kit Siang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Hasan tampil mengadakan sidang media itu kira-kira empat jam selepas Kit Siang mengkritik cara beliau menguruskan 1MDB.

Dalam sidang media yang turut diadakan di lobi Parlimen, Kit Siang berkata, Hasan dilihat tidak mengambil langkah pro-aktif sebaik sahaja dilantik sebagai pengerusi PAC apabila beliau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyegerakan mesyuarat pertama jawatankuasa itu.

Kit Siang juga menggesa Hasan supaya tidak mengambil sikap ‘duduk dan tunggu’ dalam kes 1MDB kerana ia adalah isu nasional yang penting.

Dalam pada itu Hasan turut mengulas mengenai Kit Siang yang bercakap tentang ‘nasib’ Tony Pua dalam PAC yang didakwa akan disingkirkan daripada jawatankuasa itu.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Pua daripada jawatankuasa itu kerana kuasa untuk berbuat demikian adalah hak Jawatankuasa Pemilihan.

Saya tak ada kuasa untuk pecat Tony Pua. Saya kata kita cuma akan bincang integriti ahli-ahli PAC dalam mesyuarat akan datang," katanya sambil menambah mesyuarat akan diadakan sebaik sahaja tiga anggota PAC lain dilantik.

Mengenai individu bernama Jho Low yang sebelum ini dipanggil oleh pengerusi PAC terdahulu untuk membantu siasatan 1MDB, Hasan berkata perkara itu perlu dibincang dan ditelliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

PAC, DAP

Artikel Lain