suria

Tiga Lelaki Ditahan Bersama Pelbagai Dadah, Sepucuk Pistol

TELUK INTAN: Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan bersama pelbagai dadah dan sepucuk pistol dalam 'Ops Sarang' di sebuah rumah di Chenderong Balai di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hasil risikan polis sejak dua bulan lepas, kesemua suspek berusia antara 22 dan 35 tahun itu ditahan di ruang tamu rumah berkenaan pada kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata ketika serbuan di rumah berkenaan, berlaku pergelutan antara polis dan suspek, namun kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh itu berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 12 paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah hroin dan methamphetamine seberat 182.83 gram bernilai RM8,410 serta dua biji pil Erimin 5 bernilai RM60.

"Turut ditemui sepucuk pistol jenis Sig Sauer P226 dan sebilah pisau benet," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini Selasa.

Mohd Shuhaily berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Beliau berkata rumah berkenaan yang terletak di kawasan kebun kelapa sawit dijadikan tempat untuk suspek menjalankan aktiviti mengedar dan menagih dadah sejak dua bulan lepas.

"Hasil siasatan awal mendedahkan senjata api itu diperoleh daripada seorang kenalan suspek dari Sabak Bernam, Selangor untuk simpanan sementara," katanya.

Mohd Shuhaily berkata kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Ahad mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Mohd Shuhaily berkata polis menangkap lima lelaki dipercayai sindiket mencuri dan membeli jentera berat bernilai RM30,000 dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu dan Ahad lepas.

Beliau berkata empat suspek ditahan dalam serbuan pertama di Hutan Simpan Besout, Sungkai pada Sabtu dan susulan tangkapan itu jentera yang dicuri ditemui di sebuah pondok kawalan Rela di Besout Dua Tambahan kira-kira 3.45 petang keesokannya.

"Pada hari sama (Ahad) seorang lelaki ditahan di pondok kawalan berkenaan kerana membeli jentera jengkaut curi itu bernilai RM6,000. Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun.

"Difahamkan, jentera jengkaut yang dicuri itu digunakan untuk penerokaan hutan di Hutan Simpan Besout dan penternakan lembu," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

dadah, Ops Sarang

Artikel Lain