suria

Dr Wan Azizah Akan Kemuka Usul Undi Tak Percaya Terhadap PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau sendiri akan mengemukakan usul itu setelah mendapat persetujuan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, usul sama yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian sebelum ini akan ditarik balik.

“Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju untuk menghantarnya sekali lagi dan ia akan dibawa oleh saya sendiri.

“Usul yang telah dihantar itu akan ditarik balik. Pakatan Harapan setuju suara lebih kuat jika kita kemukakan usul ini,’ katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata, perkara ini juga akan dibincangkan dengan PAS dan sesiapa sahaja yang menolak kepimpinan Najib.

“Sesiapa sahaja kita akan dekati.

“Dengan PAS kita akan cakap dan bincang. PAS bukan dalam Pakatan Harapan tapi sebagai pakatan pembangkang,” katanya.

Mengenai tahap keyakinan usul itu akan diluluskan, beliau berkata tidak ada sebab untuk usul itu ditolak jika ia dibuat mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

“Mesti ikut peraturan…mesti tulis dalam bahasa yang ‘dia’ akan terima,” katanya.

Katanya, mengikut Peraturan 26 Mesyuarat Dewan Rakyat, notis perlu dihantar dalam masa 14 hari pembentangan.


Artikel Sebelum

Artikel Lain