suria

Syarat Perumahan Baharu Kerajaan Pulau Pinang Hanya Untungkan Pemaju

GEORGE TOWN: Syarat rumah mampu milik baharu kerajaan Pulau Pinang hanya memberi faedah kepada pemaju dan bukannya golongan berpendapatan rendah, kata Ketua Biro Undang-undang dan Biro Aduan Awam Pemuda Gerakan, Jason Loo.

Beliau berkata syarat rumah mampu milik baharu yang menaikkan kadar pendapatan bulanan isi rumah hanya membantu pemaju menjual unit-unit rumah mereka.

Jelasnya berdasarkan kajian baru-baru ini 49 peratus pendapatan bulanan isi rumah penduduk negeri ini kurang RM4,000 dan mereka masih tidak mampu membeli rumah.

"Kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah dengan mengurangkan harga hartanah dalam semua kategori rumah mampu milik bukannya membantu pemaju dengan menaikkan pendapatan bulan isi rumah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Loo berkata dengan syarat baharu, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 masih tidak mampu membeli rumah pertama.

Isnin minggu lepas pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo mengumumkan kenaikan siling pendapatan isi rumah untuk pemohon rumah mampu milik di negeri ini bagi membolehkan lebih ramai yang memohon pinjaman bank untuk membeli rumah.

Bagaimanapun Loo berkata kategori khas rumah mampu milik kerajaan negeri RM150,000 tidak membantu kerana unit-unit tersebut tidak mempunyai tempat letak kereta dan kemasan, bermakna kos tambahan kepada para pembeli.

Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri menurunkan harga semasa rumah mampu milik RM200,000 kepada RM400,000 bagi memastikan rakyat Pulalu Pinang benar-benar mampu membeli rumah.

"Menyalahkan kerajaan persekutuan dan Bank Negara tidak akan menyelesaikan masalah. Jangan salahkan Pihak Ejen Pemaju," ujarnya.

Syarat baharu rumah mampu milik kerajaan negeri menaikkan siling pendapatan isi rumah untuk rumah mampu milik kepada masing-masing RM200,000; RM300,000 dan RM400,000 kepada RM8,000; RM10,000 dan RM12,000 kepada RM6,000; RM8,000 dan RM10,000.-- Bernama


Artikel Lain