suria

Bekas Ketua Hakim Negara Tokoh Ma'al Hijrah 2015

Abdul Hamid diraikan keluarganya, termasuk isteri, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah (kanan), Mohd Azam Abdul Hamid, Melati Abdul hamid,Mohd Ariff Tun Abdul Hamid and Sofea Mohd Ariff selepas menerima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah, Rabu.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad diumumkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah pada sambutan Ma'al Hijrah 1437H peringkat kebangsaan, Rabu.

Abdul Hamid, 73, menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan berserta plak daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Hamid berkata tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mendapat penganugerahan sebesar itu.

Beliau yang teruja menerima anugerah itu menyeru agar umat Islam di negara ini supaya terus bersatu-padu dan menjauhi perpecahan.

"Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden yang telah berada di hadapan dalam pelbagai perkara seperti kewangan Islam, industri halal, demokratik, aman dan tenteram, seharusnya seluruh umat Islam dalam negara perlu berfikiran ke hadapan dalam melebihkan lagi pencapaian-pencapaian yang boleh membangunkan negara.

"Sesungguhnya, tidak ada sebab yang munasabah mengapa kita (umat Islam) patut berpecah belah, Tuhan kita satu, agama kita satu, tujuan kita sama," katanya.

Dilahirkan di Seberang Perai, Pulau Pinang, Abdul Hamid menjawat jawatan tertinggi dalam sistem perundangan negara sebagai Ketua Hakim Negara bermula 2007 hingga 2008.

Walaupun telah lama bersara daripada jawatan itu, beliau masih lagi menabur bakti kepada negara dengan menjawat beberapa jawatan seperti ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-Undang Bank Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Semakan Penalti Monetari, Bank Negara.

Jiwa dan raga beliau masih setia dengan perundangan dan kehakiman, malah beliau aktif dalam memberi komen, cadangan, kritikan dan nasihat yang berkait dengan bidang perundangan.

Seawal 1974, beliau telah membuktikan kehebatannya dalam bidang perundangan apabila menulis sebuah artikel bertajuk 'Proof in the Syariah Courts' (Pembuktian dalam Mahkamah Syariah) sehingga disiarkan oleh Malayan Law Journal.

Pada 1981 semasa berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang negeri Kelantan sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, beliau menyiapkan Rang Undang-Undang Acara Jenayah Syariah dan Rang Undang-Undang Acara Mal Syariah untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Pada 1990, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, diikuti pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pada 2002 semasa menjawat jawatan Hakim Mahkamah Rayuan, beliau menulis satu kertas kerja, mencadangkan isu-isu syariah yang berbangkit dalam kes-kes kewangan Islam termasuk perbankan Islam dan takaful dirujuk kepada Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara untuk mendapat keputusan mengenainya.-- Bernama


Artikel Lain