suria

Perpaduan Penting Untuk Transformasi Negara - Jamil Khir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama sebahagian peserta berarak dan berselawat dari Dataran Merdeka ke Masjid Negara pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437 Hijrah, Rabu.

KUALA LUMPUR: Sambutan Maal Hijrah di seluruh negara disambut secara sederhana tetapi penuh pengertian selaras dengan temanya tahun ini 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.

Sambutan sempena memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah itu diserlahkan melalui perarakan diiringi selawat ke atas nabi.

Di ibu negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapan aluannya berkata perpaduan dan suasana harmoni antara pelbagai kaum di negara ini memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Jamil Khir berkata perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia hanya dapat dicapai sekiranya setiap kaum, bangsa dan agama mengamalkan budaya dan agama secara sederhana serta mengamalkan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Tidak boleh tidak masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini harus mempunyai semangat patriotisme yang jelas, agar inspirasi inilah nanti yang akan memangkin semangat cintakan negara dan seterusnya membina kemajuan untuk faedah bersama," katanya pada majlis sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan di Masjid Negara di sini, Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan sambutan itu.

Beliau berkata Islam yang diamalkan negara ini sejak sekian lama ialah Islam yang sederhana berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak terlalu rigid dan ketat, tidak terlalu longgar dan bebas.

Jamil Khir sebelum itu, turut bersama lebih 50,000 umat Islam di ibu negara berarak dari enam lokasi ke Masjid Negara sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang bermula pada 7.45 pagi.

Beliau mengetuai perarakan dari Dataran Merdeka menuju Masjid Negara, dan lima lagi lokasi ialah Padang Merbok, Masjid Jamek, Muzium Negara dan Masjid Wilayah, sementara kaum wanita pula dari Muzium Kesenian Islam.

Perarakan yang turut diikuti dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW turut disertai penjawat awam, badan berkanun dan swasta, guru sekolah agama, imam, anggota badan beruniform, persatuan belia, pelajar, badan bukan kerajaan dan orang awam.

Selain itu, lebih 200 motosikal berkuasa tinggi turut memulakan perarakan mereka dari Masjid Wilayah ke Masjid Negara.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu rakyat negeri itu meningkatkan komitmen bersama kerajaan untuk meneruskan hijrah bagi menjamin pembangunan berterusan di negeri tersebut.

"Berlandaskan semangat hijrah juga, marilah saling menghormati, ketepikan perbezaan dan melihat pada persamaan yang kita kongsi bersama untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri ini," katanya pada majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat Sabah hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Di PAHANG, Sultan Ahmad Shah bertitah supaya umat Islam memberi fokus kepada usaha memantapkan perpaduan dan kerjasama, bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada semua kaum yang berbilang bangsa dan agama.

"Kejayaan membangunkan sesebuah negeri yang memiliki kepelbagaian bangsa dan agama seperti di negara kita memerlukan penyertaan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat.

"Ini bagi menjamin perkongsian dan manfaat pembangunan dinikmati secara saksama oleh semua bangsa dan agama sekali gus mengelakkan berlakunya perbalahan yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan dalam masyarakat majmuk," titah baginda.

Teks titah diraja Sultan Ahmad Shah dibacakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang disertai lebih 1,000 umat Islam. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. 

Di KEDAH, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah mahu umat Islam menghayati erti perpaduan dalam membentuk kesatuan bagi meneruskan kesinambungan konsep hijrah yang dipelopori baginda Rasulullah SAW.

"Semangat perpaduan perlu diterapkan selain perlu berpaksikan cinta kepada Allah dan baginda Rasulullah SAW. Nikmat Islam perlu dipulihkan dari anasir negatif yang menyebabkan berlakunya ajaran sesat," titah baginda pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah.

Turut hadir Tunku Puan Temenggong Datin Seri DiRaja Puan Sri Datuk Seri Tengku Maliha Tengku Ariff, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Mufti Negeri Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tuntutan hijrah yang lebih besar itu adalah melakukan perubahan dalam memberikan yang lebih baik kepada agama, pada Johor dan pada bangsanya.

"Maka berhijrahlah keluar dari keselesaan dan kepompong kita. Daripada amalan kita yang rutin. Daripada pemikiran yang tertutup. Daripada pandangan kita yang gagal menghargai pandangan lain," katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang dihadiri kira-kira 15,000 rakyat.

Mohamed Khaled turut menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri kepada guru agama dan penceramah Zahari Jaafar Awang. 

Kategori Tokoh Saudara Lelaki disandang Mohd Hafidzuddin Raja Abdullah dan Tokoh Saudara Perempuan Salina Er Abdullah.

Tok Batin Jarin Urih dipilih Tokoh Orang Asli.

Di SARAWAK, bekas Mufti Sarawak yang juga Pengerusi Persatuan Ulama Sarawak Datuk Loling Alwi antara 10 penerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sarawak hari ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menyampaikan Anugerah Maal Hijrah Pendakwah Contoh kepada Loling, sementara Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon menerima Anugerah Maal Hijrah Pegawai Awam Contoh.

Pasangan Mohd Nuli Abdullah dan Khadijah Abdullah bagi kategori Anugerah Keluarga Contoh, Awang Said Awang Dollah bagi Anugerah Sukarelawan Contoh, Masjid An-Naim Lutong Miri untuk Anugerah Masjid Contoh dan Surau Al-Quddus Kuching untuk Anugerah Surau Contoh.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem serta lebih 1,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.-- Bernama



Jamil Khir Baharom, Ma'al Hijrah

Artikel Lain