suria

SPRM Yakin Siasatan Kes SRC International Siap Akhir Tahun Ini

Mohd Shukri Abdull

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin dapat melengkapkan siasatan kes SRC International pada akhir tahun ini.

"Kami akan cuba sebaik mungkin untuk melengkapkan siasatan akhir tahun ini, InsyaAllah," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull selepas mesyuarat Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini, Selasa.

SRC International adalah bekas anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Mohd Shukri enggan mendedahkan individu yang dikatakan paling berkuasa di negara ini dan disiasat SPRM berkaitan syarikat berkenaan.

"Tidak, tidak tidak, tak boleh sebut siapa tetapi saya yakin dapat selesaikan kes ini sebelum akhir tahun," katanya.

Mohd Shukri juga menolak bahawa pihaknya bimbang adanya campur tangan pihak tertentu akan menggugat siasatan kes berkenaan.

"Tiada siapa yang boleh mengganggu kerja SPRM. Saya akan pastikan.

"Kami tiada masalah dengan halangan atau campur tangan, siasatan akan diteruskan," katanya sambil menambah SPRM melaksanakan tugas dengan bebas dan telus.

Berkaitan isu RM2.6 bilion, Mohd Shukri berkata, SPRM tidak dapat memaklumkan tarikh sebenar siasatan itu tamat kerana ia bersifat kompleks kerana melibatkan pihak negara asing.

"Kes RM2.6 bilion akan mengambil masa kerana ia melibatkan luar negara. Kebanyakan bukti dari luar negara," katanya.

Ditanya bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil untuk disoal siasat, beliau berkata, semua pihak berkaitan akan dipanggil untuk tujuan berkenaan.

"Kami akan panggil sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan kes ini tanpa mengira siapa mereka," katanya.


Artikel Lain