suria

DCA Diarah Siasat Dakwaan Penemuan Bangkai Pesawat Di Selatan Filipina- Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menyiasat dakwaan penemuan bangkai pesawat di sebuah pulau di selatan Filipina yang dikaitkan dengan kehilangan MH370.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan itu turut melibatkan antara lain Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan. 

"Saya telah menerima laporan mengenai penemuan itu dan ia belum boleh disahkan lagi...kita memberi ruang kepada mereka untuk siasat," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di sini pada Ahad.

Liow turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai dakwaan itu sebelum siasatan selesai.

Seorang lelaki bernama Jamil Omar dilaporkan, membuat laporan di balai polis Sandakan dengan mendakwa saudaranya menemui satu bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina pada awal September lepas.

Laporan itu turut mengandungi dakwaan terdapat rangka dan tulang manusia selain bendera Malaysia dalam pesawat berkenaan. 

Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

DCA, MH370, Datuk Seri Liow Tiong Lai

Artikel Lain