suria

Penunggang Motosikal Maut Rempuh Pokok Getah Tumbang

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebatang pokok getah yang tumbang dan merintangi jalan dekat selekoh di Jalan Ara Kuda, di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata dalam kejadian 6.50 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun yang tinggal tidak jauh dari lokasi kemalangan dalam perjalanan ke kedai untuk membeli sarapan.

"Mangsa yang menunggang sendirian maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.01 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok getah tumbang melintangi jalan dan terdapat seorang mangsa lelaki serta sebuah motosikal di situ.

"Mayat dikeluarkan dari kawasan pokok tumbang sebelum diserahkan kepada polis dan anggotanya kemudian melakukan kerja memotong dan mengalihkan pokok hingga selesai," katanya.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 43, berkata pokok itu dipercayai tumbang awal pagi Sabtu ekoran hujan lebat sejak malam Jumaat mungkin tidak nampak pokok yang tumbang itu berikutan keadaan gelap di kawasan berkenaan. - BERNAMA

pokok tumbang, kemalangan

Artikel Lain