suria

Tiga Maut Kemalangan Di Tanjung Malim

PETALING JAYA: Dua lelaki dan seorang perempuan yang menaiki sebuah kereta mewah maut dalam kemalangan di Kilometer 399.6 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Tanjung Malim, Perak pagi Sabtu.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam mengesahkan insiden tersebut.

Difahamkan, kemalangan maut itu berlaku apabila sebuah lori kontena merempuh tiang papan tanda yang melintang di lebuh raya berkenaan.

Akibat rempuhan berkenaan, palang papan tanda tersebut jatuh dan melintang di atas jalan di kedua-dua laluan.

Kereta yang dipandu mangsa dari arah selatan dikatakan tidak menyedari kewujudan palang besi itu di atas dan merempuhnya sehingga menyebabkan bumbungnya terputus.

Berikutan itu, kedua-dua laluan terhalang dan menyebabkan aliran traik sesak sejauh lebih dua kilometer sebelum laluan alternatif dibuka.

Pemandu dan dua penumpang kereta tersebut meninggal di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenali pasti sebagai bekas Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Galian Ipoh, Dzulkarnain Kamaruzzaman, 64, Jamnah Ibrahim, 56 dan anak perempuan mereka, Nor Juliana Dzulkarnain, 17.

Supramaniam berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu treler akan ditahan sementara menunggu keputusan ujian air kencing.

Saksi kejadian diminta menghubungi talian hotline polis di 03-20529999 atau hadir ke balai polis berhampiran.








Tanjung Malim, Behrang

Artikel Lain