suria

Sambutan Hari Sukan Di Seluruh Negara Berjalan Lancar - KJ

SHAH ALAM: Semua aktiviti bersempena sambutan Hari Sukan Negara hari ini berjalan lancar di seluruh negara walaupun keadaan jerebu masih membelenggu negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan di bawah paras 100 dan berada pada tahap sederhana di seluruh negara termasuk di Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Port Dickson.

Katanya beliau amat berpuas hati dengan sambutan masyarakat di seluruh negara terhadap Hari Sukan Negara yang ditetapkan pada Sabtu minggu kedua Oktober setiap tahun.

"Saya yakin kita akan mencapai sasaran melebihi 3 juta rakyat. Itu tidak termasuk di sekolah-sekolah yang sebahagian besar sekolah menganjurkan aktiviti sukan hari ini.

"Kami dah keluarkan garis panduan tiga hari yang lepas. Kalau melebihi 150 memang mereka akan batalkan aktiviti yang dianjurkan," katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Sukan Negara di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Sabtu.

Majlis sambutan Hari Sukan Negara yang julung kalinya hari ini dirasmikan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seramai 5,000 peserta hadir memeriahkan sambutan itu yang turut menyediakan pelbagai aktiviti sukan termasuk 'Fun Walk' sejauh dua kilometer yang turut disertai Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Khairy berharap agar lebih ramai penganjur turut sama menjayakan sambutan Hari Sukan Negara pada masa hadapan selepas melihat kejayaan sambutan sulung hari ini.

"Harap lebih ramai penganjur tampil pada tahun depan sebab ramai penganjur yang tidak yakin dengan penganjuran kali ini.

"Sudah pasti tahun pertama penganjuran kita, mungkin ada kelemahan yang boleh diperbaiki pada tahun-tahun akan datang. Penyelarasan dijalankan di seluruh negara dan saya puas hati persiapan yang telah dibuat," katanya.

Lebih 17,000 program sukan dianjurkan di seluruh negara termasuk di peringkat daerah, kampung, sekolah dan institusi pengajian tinggi sempena sambutan Hari Sukan Negara melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Hari Sukan Negara, KBS, UiTM

Artikel Lain