suria

Dr Mahathir Dakwa Perhimpunan 'Baju Merah' Untuk Alih Isu 1MDB

PETALING JAYA: Perhimpunan 'baju merah' sengaja diadakan oleh kerajaan bagi menghasut sentimen perkauman, demikian dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi temu bual dengan majalah hal ehwal semasa Asia Pasifik, The Diplomat, bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa bahawa perhimpunan pada 16 September atau Himpunan Maruah Melayu diadakan sebagai satu cara untuk mengalihkan perhatian daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"(Perhimpunan 16 September) dianjurkan oleh kerajaan. Mereka cetuskan persepsi bahawa demonstrasi Bersih adalah perkauman iaitu Cina menentang Melayu...sebenarnya tidak.

"Tapi mereka perlu mengalihkan perhatian mengenai tuntutan Bersih mengenai 1MDB. Ini adalah sangat berbahaya, kerajaan mahu mendapatkan orang ramai untuk menunjukkan sokongan kepada mereka," katanya.

Menurut penganjur perhimpunan 16 September, ia diadakan untuk 'melindungi maruah kaum'.

Berkongsi pandangan mengenai mengapa beliau menghadiri perhimpunan Bersih 4.0, Dr Mahathir berkata kumpulan 'baju kuning' adalah satu cara untuk beliau menyuarakan pendapatnya.

"(Menghadiri Bersih 4.0) adalah pilihan terakhir. Saya berasa perlu untuk menyatakan pendapat saya, dan kerana saya mempunyai pandangan yang sama seperti Bersih iaitu untuk menyingkirkan Perdana Menteri. Ia tiada kaitan dengan isu perkauman.

"Peserta Bersih datang dari semua golongan masyarakat. Ia bukan satu demonstrasi Cina terhadap kerajaan Melayu. Ia bukan bersifat perkauman sama sekali," katanya.

Artikel Lain