suria

Tiga Lelaki Didakwa Serang Pegawai Imigresen Melaka

MELAKA: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan secara bersama menyerang seorang pegawai imigresen Melaka di Melaka Raya, pada bulan lepas.

Pang Chian Chuen, 30, bekerja sebagai penjaga spa, Victor Frank Bateman, 24, seorang juruwang, dan Mohd Fadzlinuddin Mohd Haris, 35, seorang pengawal keselamatan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mereka didakwa bersama beberapa orang yang masih bebas menyerang Mohd Yusof Hashim, pegawai imigresen yang sedang menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Hiburan Ninety Eight Bar  and  Karaoke yang beralamat No 12  and  14, Jalan Melaka Raya 33, Taman Melaka Raya di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 30 September lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Firdaus kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 4 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid, dan semua tertuduh diwakili peguam Faiedzad Razali.-- Bernama

Imigresen, Melaka, Pang Chian Chuen

Artikel Lain