suria

Pegawai MBPP Kena Jerit Kerana Kunci Tayar

Dua lelaki cuba membuka tayar Perodua Myvi yang dikunci pegawai penguatkuasa MBPP, Rabu.

GEORGE TOWN: Dua lelaki sengaja menimbulkan kekocahan apabila bertindak menjerit kepada seorang pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) apabila tayar kenderaan mereka dikunci kerana meletak kenderaan di tempat tidak sah.

Salah seorang daripada mereka, dipercayai pemilik kenderaan itu meninggikan suara meminta supaya pegawai wanita itu membuka kunci pada Perodua Myvinya yang diletak pada garisan kuning berkembar di Lebuh Campbell sebelum denda dijelaskan.

Lelaki itu kemudiannya cuba membuka tayar kanan di bahagian depan kenderaan itu yang dikunci apabila pegawai itu enggan memenuhi permintaannya supaya membuka kunci itu.

“Wa bukan tak ada duit. Wa banyak duit. Lu buka dulu. Tak payah takut wa tak lari." 

Rakannya kemudian mengeluarkan wang kertas RM50 dan melemparnya ke lantai.

Pegawai itu tetap tenang, mengutip wang kertas itu dan kemudiannya membuka kunci pada tayar kenderaan itu.

Susulan kejadian pada petang Rabu itu, pegawai pihak berkuasa tempatan itu membuat laporan polis.

Klip video yang dirakam rakan pegawai penguatkuasa itu menjadi viral di Facebook dan ramai yang mengutuk perbuatan dua lelaki itu.

Ketua Polis Daerah George Town Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian itu dan berkata pegawai penguatkuasa terbabit menarik balik laporan yang dibuatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Awam dan Penguatkuasa MBPP, Dr Tan Kim Hooi dijangka mengadakan sidang media berhubung kejadian itu pada Khamis.

Lebuh Campbell, MBPP

Artikel Lain