suria

Yazid Sufaat Anggota JI Malaysia - Saksi

Yazid Sufaat
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu diberitahu bahawa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat ialah anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) Malaysia.

Ketua Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan Universiti Teknologi Nanyang di Singapura Prof Dr Rohan Gunaratna berkata maklumat mengenai penglibatan Yazid dengan kumpulan JI diperoleh melalui keterangan seorang banduan dan suspek pengganas dikenali sebagai 'Hambali', yang kini ditahan di Amerika Syarikat (AS).

Rohan, 54, berkata Hambali melalui keterangannya di dalam Laporan Suruhanjaya 9/11 menyatakan beliau merekrut Yazid untuk bekerja dengan Al-Qaeda di Asia Tenggara.

"Laporan Suruhanjaya 9/11 itu adalah berdasarkan penyiasatan serangan 9/11.
Laporan itu jelas menyebut bagaimana Hambali merekrut Yazid Sufaat untuk bekerja dengan Al-Qaeda di Asia Tenggara.

"Saya memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya 9/11 mengenai struktur Al-Qaeda kerana beberapa penyerang 9/11 telah ke Asia Tenggara khususnya Malaysia dan tinggal di sebuah pangsapuri yang ditawarkan oleh Yazid Sufaat," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35, yang didakwa terbabit dalam kegiatan menggalakkan keganasan.

Yazid berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi dituduh bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Feb 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574)  yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili kedua-dua tertuduh, membantah soalan pihak pendakwaan kerana jawapan diberi adalah pendapat saksi berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata mahkamah mengambil maklum tentang bantahan itu.

Semasa menjawab soalan Nurdeenie mengenai kumpulan Al-Qaeda, Rohan berkata kumpulan itu telah menjadikan negara itu sebagai pusat mengadakan mesyuarat dan merancang serangan pengganas.

"Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) menghantar anggota mereka untuk mendapatkan latihan dengann sebuah kumpulan Al-Qaeda di Afghanistan.

"Individu yang menerima latihan di Afghanistan, akan kembali ke negara mereka dan melancarkan serangan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Al-Qaeda ialah sebuah pertubuhan politik yang menyalahgunakan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran untuk kepentingannya.

"Matlamat utama Al-Qaeda adalah matlamat politik yang menggunakan surah tertentu dalam teks agama untuk mewajarkan matlamat politiknya," kata beliau.

Perbicaraan bersambung esok.



Artikel Lain