suria

TPPA: Kerajaan Perlu Tepati Janji - Amanah

Khalid Samad

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu kerajaan menepati janji untuk memberi masa secukupnya bagi Parlimen serta rakyat meneliti serta membahas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, langkah itu perlu kerana menteri dengan sendirinya mengakui wujudnya berbagai kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati terhadap perjanjian ini.

Katanya, selain itu, diharap semua teguran akan diambil berat dan tindakan sewajarnya serta perbahasan tidak hanya bersifat sebagai ‘public relations excercise’ semata-mata.

Sehubungan itu, katanya, walaupun telah dipersetujui, namun tidak akan ditandatangani sebelum mendapat persetujuan dari Parlimen dan semua pihak berkepentingan.

“Kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati ini dijawab dengan sekadar menyatakan bahawa Malaysia telah mendapat konsesi dalam hampir kesemua isu yang dikemukakan.

“Dijelaskan bahawa konsesi tersebut mengambil bentuk keanjalan dari sudut tempoh dan layanan berbeza bagi bidang-bidang sensitif negara. Malangnya kenyataan tersebut tidak menjelaskan aspek keanjalan dan layanan berbeza yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.

"Juga mengenai persaingan bebas tanpa kawalan dan campur tangan kerajaan.

"Ia akan menyebabkan pihak yang lebih kuat serta berkebolehan mengatasi semua pihak lain dan menguasai pasaran,” katanya dalam kenyataan, Selasa.

Pada Isnin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan semua 12 negara yang terlibat dalam rundingan TPPA bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Kata Mustapa lagi, Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.

Oleh itu, kata Khalid, syarikat-syarikat tempatan yang lebih kecil berbanding syarikat antarabangsa, Amerika Syarikat dan sebagainya akan terjejas dan dengan sendirinya terpinggir.

"Kekhuatiran yang bersifat lebih menyeluruh adalah berhubung kebebasan dan hak negara untuk menjalankan usaha ‘penyususnan semula’ ekonomi negara.

"Kerajaan akan berada dalam keadaan ‘tangan terikat’ di mana apa jua usaha memberi layanan berbeza dengan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan boleh dipertikaikan dan diambil tindakan undang-undang oleh syarikat asing," katanya.

Beliau juga mengutarakan persoalan hak milik intelektual yang akan mendatangkan kesan terhadap harga ubat-ubatan khususnya.

"Kami mendapati kesemua persoalan ini difahami Menteri kerana telah disentuh olehnya melalui kenyataan yang dikeluarkan walaupun tidak dijelaskan sejauh mana ‘konsesi’ yang diperolehi menjawab dan menyelesaikan kekhuatiran serta perasaan tidak senang hati berkaitannya.

"Oleh itu diharap ia akan diselidiki dan diperincikan apabila kandungan perjanjian ini didedahkan kepada rakyat untuk dibahaskan," katanya.

Pada masa sama, kata Khalid, Amanah tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat, kecuali bimbang ia hanya mendatangkan keuntungan jangka masa pendek sambil menambahkan kebergantungan negara kepada sumber hasil tertentu.



TPPA, Khalid Samad, Mustapa Mohamed

Artikel Lain