suria

Jerebu: USM Tangguh Kuliah

GEORGE TOWN: Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah dan tutorial) serta aktiviti luar Universiti Sains Malaysia (USM) yang dijadual pada Isnin ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid berkata penangguhan ini melibatkan Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata USM mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan persekitaran negara yang dilanda jerebu tebal.

Bagaimanapun, beliau berkata semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang ditangguhkan perlu diganti dan dijadual semula mengikut kesesuaian oleh Pusat Pengajian masing-masing.

Katanya penangguhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari-hari berikutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Siti Zubaidah menasihatkan semua staf dan pelajar agar mematuhi prosedur operasi standard Pengurusan Jerebu USM dengan memastikan langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan masalah kesihatan.

Operasi Perkhidmatan Rawatan Kesihatan bagi kes jerebu di Pusat Sejahtera Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan dari jam 8 pagi hingga 7 malam manakala IPPT Bertam dan Hospital USM beroperasi 24 jam untuk staf dan pelajar.

"Bagaimanapun, Pendaftar USM juga menjelaskan bahawa operasi harian pejabat dan semua jabatan pada 5 Okt 2015 berjalan seperti biasa namun semua staf pejabat yang bertugas tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar," katanya.

Maklumat lanjut mengenai jerebu boleh didapati daripada laman sesawang www.pusatsejahtera.usm.my atau hubungi hotline Bilik Operasi Jerebu USM di talian 04-6534948.

Jerebu, USM

Artikel Lain