suria

Jerebu: Operasi Lapangan Terbang Langkawi Terhenti

LANGKAWI: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dihentikan lebih tiga jam berikutan jarak penglihatan yang rendah hari ini menyebabkan beratus-ratus penumpang terkandas di terminal.

Malaysia Airports Berhad (Malaysia Airports) dalam twitter mengumumkan penutupan landasan itu berkuat kuasa 8.20 pagi selepas jarak penglihatan tidak lebih daripada 500 meter dicatatkan akibat jerebu.

Malaysia Airports kemudian membuat satu lagi pengumuman pada 11.40 pagi untuk membenarkan operasi penerbangan disambung semula berikutan jarak penglihatan yang lebih baik.

Tinjauan Bernama di terminal lapangan terbang menunjukkan dua penerbangan yang dijadual berlepas dari pulau itu pagi ini hanya akan berlepas selepas tengah hari.

Sementara itu, Langkawi merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat 149 setakat 12 tengah hari Isnin.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Nelayan Kawasan Langkawi (PNKL) menasihatkan para nelayan supaya mendapatkan maklumat melalui radio dan televisyen mengenai keadaan jerebu sebelum turun ke laut.

Pengerusinya, Mahadzir Ibrahim menasihatkan supaya mereka berhati-hati dalam keadaan jerebu pada masa ini selain menjaga kesihatan.

Terdapat lebih 2,000 nelayan di Langkawi.

Langkawi, Jerebu

Artikel Lain