suria

Polis Tahan Enam Lelaki Bantu Siasatan Kes Pegawai Imigresen Diserang

MELAKA: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan ke atas pegawai Jabatan Imigresen Melaka ketika operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, semua lelaki berusia antara 24 hingga 57 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Taman Melaka Raya pada Jumaat lepas dan Sabtu.

"Tangkapan pertama melibatkan empat lelaki berusia 24 hingga 57 tahun pada Jumaat kira-kira pukul 4 petang manakala tangkapan kedua seramai dua orang semalam kira-kira pukul 12.30 tengah malam. (Sabtu).

"Kesemua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut dan polis akan memanggil pegawai JIM yang terlibat dalam serangan ini untuk melakukan kawad cam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Shaikh Abdul Adzis berkata, polis memandang serius tindakan menyerang pegawai imigresen berkenaan ketika menjalankan tugas dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada melaksanakan tugasan.

Pada Khamis lepas media melaporkan 19 pegawai dan anggota imigresen diserang sekumpulan lebih 40 samseng ketika membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya di sini, Rabu.

Artikel Lain