suria

Kerajaan Tidak Pernah Sekat Kebebasan Bersuara Rakyat - TPM

Zahid (tengah) melihat Buku Pelan Strategik Jabatan Pendaftaran Petubuhan Malaysia (JPPM) 2015-2020 pada Majlis Perasmian Festival Pertubuhan Kebangsaan 2015 pada Sabtu. Turut hadir (dari kiri) Pengerusi Jawatan kuasa Kerajaan Tempatan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Badan-badan Bukan Kerajaan Datuk Badrol Hisham Hashim, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Kedah, Aminuddin Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah. Foto Bernama

JITRA: Kewujudan 116,000 pertubuhan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di negara ini merupakan bukti jelas kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyatnya, kata Timbalan Perdana Menteri. 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang pendaftaran pertubuhan-pertubuhan walaupun diketahui mereka "menongkah arus perdana".

"Jika ada pihak yang mengatakan terdapat sekatan daripada bersuara dan memberi pendapat, perbezaan (pendapat) dan melontar pandangan, ROS dapat memberi bukti empirikal bahawa pertubuhan yang berdaftar itu merupakan bukti kerajaan memberikan kebebasan."

"Terdapat kebebasan untuk bersuara dan bergerak, bersuaralah selantang mungkin asalkan tidak menganggu-gugat ketenteraman awam. Bergeraklah untuk mengumpul ahli yang ramai asalkan tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif dan melanggar undang-undang termasuk Akta Hasutan," katanya di sini, sABTU.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis perasmian Festival Pertubuhan Kebangsaan 2015 yang turut dihadiri Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah di Tasik Darulaman di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 116,000 pertubuhan yang berdaftar dengan ROS terdiri daripada 53,000 pertubuhan induk dan 63,000 pertubuhan cawangan berstatus aktif.

"Bilangan pertubuhan berdaftar di Malaysia secara relatifnya adalah banyak jika dibandingkan dengan jumlah penduduk," kata beliau dan menambah, pertubuhan ini terdiri daripada parti politik, badan kesenian, badan sosial dan lain-lain lagi.

Beliau juga berkata, tindakan ROS pada Jumaat meluluskan pendaftaran Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan satu lagi bukti keterbukaan kerajaan memastikan kebebasan bersuara rakyat tidak disekat, walaupun tidak selari dengannya.

ROS meluluskan pendaftaran Amanah itu berdasarkan permohonan yang dikemukakannya, menurut beliau.

Apa yang dilakukan oleh ROS dan agensi-agensi lain, katanya, merupakan terjemahan daripada sikap bertanggungjawab kerajaan untuk melihat negara yang diambang status negara maju berjaya mencapai matlamatnya.

Beliau meminta suara majoriti rakyat yang senyap menolak "hiruk-pikuk" suara-suara kecil dalam negara yang sering menafikan kejayaan dicapai negara walaupun ia diiktiraf negara-negara luar. 

Dalam masa pada itu, Ahmad Zahid juga memberi amaran pertubuhan atau organisasi yang masih belum berdaftar dengan ROS, supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selagi belum menerima kelulusan pendaftaran daripada agensi itu.

Katanya, mereka yang berdegil enggan mendaftar, tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap kepimpinan pertubuhan itu berdasarkan kepada peruntukan di dalam Akta Pertubuhan 1966.

"Saya ingin memberitahu pertubuhan-pertubuhan itu (belum berdaftar) supaya jangan bergerak selagi belum mendaftar dan jangan mencari publisiti murahan jika jawatankuasa penaja belum mengemukakan permohonan kepada ROS, katanya.

Pada ketika ini, katanya, terdapat banyak pertubuhan dengan pelbagai nama yang menyokong atau menentang (kerajaan) telah muncul.

Ahmad Zahid juga berkata, ROS dan Kementerian Dalam Negeri juga terus memantau tindakan pertubuhan tertentu menaungi aktiviti tidak sah, penggunaan pertubuhan keagamaan tertentu untuk menghalalkan aktiviti kongsi gelap serta penyaluran sumber kewangan hasil aktiviti pengubahan wang haram ke pertubuhan. - Bernama

ROS, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Lain