suria

Jerebu: 24 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat

Gambaran dari Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara dan Institut Jantung Negara pada Sabtu menunjukkan bangunan sekitar ibu kota kelam diliputi jerebu teruk dengan jarak ketampakan amat terbatas. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang, berbanding 13 kawasan tengah Sabtu.

Menurut Portal Jabatan Alam Sekitar, dua kawasan di Negeri Sembilan antara yang mencatat IPU tertinggi iaitu Seremban (172) dan Nilai (171) selain Shah Alam, Selangor dan Batu Muda, Kuala Lumpur yang turut merekodkan bacaan IPU 171.

Kawasan lain yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Kelang, Selangor (163); Petaling Jaya, Selangor (157); Putrajaya (156); Bandaraya Melaka (156) dan Bukit Rambai, Melaka (155).

Sejumlah 16 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana termasuk Alor Star di Kedah dan Paka di Terengganu mencatatkan bacaan sama iaitu 99; Perai, Pulau Pinang (96); Indera Mahkota, Kuantan di Pahang (90) dan Kota Tinggi, Johor (89).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

jerebu

Artikel Lain