suria

Mahkamah Benar Permohonan Najib, Gantung Prosiding Permohonan Anina

Pada 28 Ogos lepas, Anina (gambar) memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran RM2.6 bilion (US$650 juta) yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung kesemua prosiding saman yang difailkan bekas anggota Umno, Anina Saadudin berhubung pembayaran berjumlah RM2.6 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh serta peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Anina.

Berikutan keputusan itu, Najib dan Ab. Rauf, yang turut dinamakan sebagai defendan, tidak perlu memfailkan pernyataan pembelaan dan sebarang afidavit lain.

Najib dan Ab Rauf sebelum ini memohon mahkamah menggantung prosiding sehingga mahkamah mendengar permohonan mereka untuk mengetepikan writ saman Anina.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi permohonan mengetepikan saman itu.

Mohd Hafarizam memberitahu pemberita bahawa hakim membuat keputusan itu berdasarkan alasan bahawa pemfailan afidavit pembelaan boleh memberi kesan kepada permohonan defendan untuk mengetepikan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan Anina.

"Hakim juga memutuskan bahawa tiada prejudis kepada plaintif sekiranya pembelaan tidak difailkan sekarang kerana sekiranya mahkamah menolak permohonan untuk mengetepikan writ saman dan pernyataan tuntutan, pihak plaintif masih berpeluang melihat pembelaan yang difailkan defendan," katanya.

Pada 28 Ogos lepas, Anina memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran RM2.6 bilion (US$650 juta) yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno di Singapura. - Bernama

Anina Saadudin, Najib Tun Razak

Artikel Lain