suria

Khairuddin Dalam Keadaan Baik - Peguam

Khairuddin Abu Hassan.

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), berada dalam keadaan baik di Hospital, kata peguamnya.

"Isterinya barangkali menziarahinya dalam masa yang singkat untuk melihat keadaan beliau. Kita akan tahu daripada doktor kemudian bila beliau akan dibenarkan keluar hospital," kata peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali.

Khairuddin ditahan semula pada 23 September lalu di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas beliau dibebaskan daripada reman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengancam demokrasi berparlimen.

Beliau memfailkan writ habeas corpus untuk mencabar penahanannya di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bertarikh 24 September yang dikeluarkan terhadapnya adalah batal dan tidak sah.

Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim pada Jumaat untuk menetapkan tarikh sebutan kes.

Muhammad Rafique memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa respoden yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria, memohon tempoh selama sebulan kepada mahkamah untuk menyediakan afidavit.


Khairuddin Abu Hassan, Umno, Sosma

Artikel Berikut

Artikel Lain