suria

Syarikat Pemborong Buah-Buahan Bakal Dikenakan Tindakan Di Bawah Akta FAMA 141

Nawawi Harun
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pemborong buah-buahan di sini, bakal dikenakan tindakan di bawah Akta FAMA 141 yang dikeluarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana gagal meletakkan sebarang label pada barang jualan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan FAMA, Nawawi Harun berkata kegagalan syarikat terbabit mematuhi Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) adalah kes pertama dikenakan ke atas pemborong, yang bakal berdepan denda maksimum sehingga RM25,000.

"Kali ini, kami ambil tindakan keras terhadap mereka dan FAMA akan pastikan pemborong dari ladang khususnya melabelkan hasil pertanian mereka agar ia memudahkan kami mengenal pasti bekalan itu datang dari mana.

"Label ini amat penting dalam membantu pengguna mendapatkan maklumat, membantu dalam kawalan harga dan ia memudahkan kami mendapatkan maklumat mengenai penjual hasil pertanian itu," katanya.

Nawawi berkata sebanyak 340 surat amaran telah dikeluarkan kepada pasar raya, gudang, pasar tani dan lain-lain di seluruh negara dari 2013 sehingga tahun ini, berhubung kegagalan mematuhi GPL.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara FAMA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Pasar Borong Kuala Lumpur, Rabu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL Dr Hayati Abdullah berkata sebanyak 46 sampel sayur dan buah-buahan diambil dari Pasar Borong Selayang untuk dilakukan kajian secara menyeluruh mengenai kadar sisa racun perosak di dalam bahan makanan itu.

Beliau berkata tujuan pihaknya mengambil sampel bahan itu adalah bagi mengesan individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan mengikut Akta Makanan 1983.

"Pematuhan kandungan racun perosak yang dibenarkan dalam hasil jualan bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting terutama bagi mengelak  keracunan makanan kepada pengguna," katanya.

Dr Hayati berkata individu atau syarikat terbabit boleh dikenakan kompaun dan dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati bersalah.

Pihak penguatkuasaan KPDNKK pula mengeluarkan sebanyak sembilan kompaun membabitkan kesalahan tidak menentusahkan alat timbang, dalam operasi di pasar berkenaan.

Akta FAMA 141, FAMA, KPDNKK, GPL, Nawawi Harun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain