suria

Pasangan Jerman Jelajah Dunia Bersama 'Van Rumput'

Sebuah van yang diliputi rumput tiruan menarik perhatian penduduk George Town, Rabu. Van yang diubahsuai dan dilengkapi dengan dapur dan ruang makan itu milik pasangan suami isteri Jerman Carolin Feneis,33, dan Tobias Lehmann digunakan untuk dalam misi mereka untuk mengembara ke seluruh dunia bersama bayi mereka Max Feneis berusia 17 bulan. Mereka bercadang untuk menjelajah negara-negara Asia seperti Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar, India, Pakistan serta Iran sebelum kembali ke negara asal mereka. 
-fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Jika dilihat daripada luar, ia kelihatan seperti sebuah van biasa yang disaluti rumput dan diparkir di tepi jalan.

Bagaimanapun, apabila dihampiri van yang diparkir di tepi jalan Lebuh Carnavon di sini, kenderaan itu memiliki keistimewaan tersendiri kerana ia telah diubah suai untuk pengembaraan menjelajah dunia oleh sebuah keluarga dari Jerman.

Van dimiliki pasangan Tobias Lehmann, 31, dan isteri Carolin Feneis, 33, itu dilengkapi tong simpanan air, dapur kecil, sinki, kabinet untuk menempatkan perkakasan dapur, meja makan untuk dua orang serta sofa yang juga merupakan katil.

Ketika ditemui Bernama di sini, Lehman berkata mereka amat gemarkan aktiviti menjelajah dan menggembara menggunakan pelbagai kenderaan sehinggalah mendapat idea untuk menjelajah dunia menggunakan van yang dibeli di Australia itu, selepas kelahiran anak mereka.

"Selepas kelahiran anak lelaki kami, Max Feneis di Australia, yang kini berumur 17 bulan, kami membuat keputusan meneruskan pengembaraan ke New Zealand selama enam bulan sebelum kembali ke Australia bersama van berkenaan," katanya.

Bernama difahamkan, pasangan itu bersama anak lelakinya telah dua bulan berada di Malaysia, dan akan menyambung siri jelajah mereka ke negara seterusnya selepas visa melancong di sini, selama tiga bulan tamat.

Sebelum tiba di Pulau Pinang sebulan lepas, pasangan itu telah menjelajah ke beberapa negeri, antaranya Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kota Baharu.

"Selepas 13 Oktober, kami bercadang menjelajah ke beberapa negara di Asia seperti Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar, India, Pakistan dan Iran.

"Setakat ini, kami sudah menjelajah negara-negara Eropah seperti Poland, Latvia, Rusia, Mongolia, China, Tibet, Nepal dan banyak lagi," kata Lehman yang juga merupakan ahli fisioterapi.

Sementara itu, seorang rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, 42, berkata beliau mengenali pasangan itu dua tahun lepas melalui laman web untuk penjelajahan, dan mempelawa mereka ke Malaysia.

"Saya harap pasangan itu berjaya melengkapkan siri jelajah mereka ke seluruh dunia dan berharap mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju," kata Sam.

Bagi mereka yang ingin mengetahui perkembangan pasangan berkenaan dengan lebih lanjut, boleh melayari laman sesawang mereka di www.somewhereovertheworld.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain