suria

IPU: Kerajaan Tak Bohong, Sembunyi Fakta - Hamim Samuri

Seekor burung dilihat bertenggek di atas batang kayu nibong berlatar belakang suasana kabur ekoran jerebu teruk dengan jarak penglihatan yang amat terbatas di sekitar jeti nelayan Kampung Tanjung Lumpur, Rabu.Keadaan itu dikhuatiri membahayakan bot-bot nelayan.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara yang direkodkan di Balok Baru setakat pukul 3 petang ialah tidak sihat iaitu 130.

PUTRAJAYA: Sistem kiraan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang diguna pakai Malaysia diiktiraf kerana ia berdasarkan standard protokol antarabangsa.

Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, kiraan IPU di negara ini menggunakan standard yang ditetapkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA).

"Adalah tidak benar mengatakan kerajaan berbohong atau menyembunyikan fakta apabila bacaan IPU menunjukkan perbezaan antara Johor dan Singapura.

"Keadaan itu berlaku kerana Malaysia dan Singapura menggunakan sistem berbeza.

"Panggillah mana-mana pakar seluruh dunia, mereka akan katakan kaedah yang kita gunakan mematuhi standard antarabangsa),” katanya pada sidang media khas di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkaitan jerebu di sini pada Rabu.

Hamim berkata, bacaan IPU di Malaysia menyasarkan kesannya kepada kesihatan, manakala di Singapura pula lebih memberi tumpuan kepada kegiatan luar.

Katanya, bacaan IPU parameter yang digunakan Malaysia ketika ini adalah berdasarkan habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) berbanding bacaan 2.5 mikrometer (PM 2.5), mengikut protokol antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia akan melaksanakan sistem IPU seperti Singapura yang menggunakan pengukuran pencemar 2.5 mikrometer (PM2.5) selewat-lewatnya pada 2017.

Katanya, di negara ini, Rangkaian Stesen Pengawasan Kualiti Negara hanya membaca dan mengukur lima parameter termasuk PM10, berbanding Singapura yang mempunyai enam parameter.

Hamim berkata, kiraan IPU berdasarkan parameter PM2.5 akan memberikan bacaan yang lebih tinggi berbanding kiraan IPU PM10.

Tambahnya lagi, kerajaan peka dengan perkara itu dan telah memasukkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Hamim Samuri, USEPA, jerebu

Artikel Lain