suria

Jururawat Tikam Suspek Dalam Kejadian Samun

SEMPORNA: Seorang jururawat bertindak berani apabila bergelut dengan penyamun bersenjatakan pisau rambo dan berjaya mencederakan suspek dalam kejadian samun di Jalan Kampung Keramat di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa telah menaiki kereta sapu yang dipandu seorang lelaki, selepas selesai bekerja di sebuah klinik swasta di pekan Semporna.

"Semasa dalam perjalanan suspek telah bertukar arah dan memandu menuju ke Jalan Baru Kampung Bugaya dengan alasan ingin mengambil rakannya di kawasan berkenaan.

"Namun apabila sampai di Jalan Kampung Keramat suspek dikatakan mengeluarkan pisau rambo dan meletakkannya di paha mangsa. Ekoran itu mangsa telah bergelut dan berjaya merampas pisau berkenaan, sebelum menikam perut suspek," katanya dalam satu kenyataan, di sini Rabu.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa turun dari kenderaan berkenaan, sebelum melarikan diri bersama beberapa barangan milik mangsa termasuk beg tangan.

Peter berkata pihaknya kini sedang memburu suspek dan meminta mana-mana klinik yang menerima pesakit yang cedera akibat tertusuk benda tajam di perut supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah  Semporna di talian 089-781244.
tikam suspek, samun, Peter Umbuas

Artikel Lain