suria

Lebih RM50 Juta Dana Pembangunan Industri Kandungan Digital Digunakan

Jailani Johari

CYBERJAYA: Lebih separuh daripada RM100 juta dana yang diperuntukan bagi pembangunan Industri Kandungan Digital telah digunakan bagi meningkatkan kebolehupayaan industri kreatif tempatan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Liga Remaja Kreatif (LRK) 2015 di sini, Selasa, beliau berkata sebahagian dana yang diperuntukan menerusi Bajet 2015 itu turut digunakan untuk membina jati diri generasi muda melalui bidang berkenaan.

"Kita telah mengadakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membangunkan industri kreatif tempatan sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan dunia bagi perkhidmatan komunikasi, maklumat dan multimedia," katanya.

Beliau berkata platform seperti LRK dapat membantu meningkatkan daya saing di kalangan pelajar sekolah menengah bagi membentuk modal insan yang mempunyai nilai tambah dalam bidang inovasi dan industri kreatif.

Jailani berkata sejak LRK dianjurkan pada 2010, sebanyak 13,000 penyertaan telah diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) manakala 53,000 pelajar telah dilatih di bawah program tersebut.

"Sepanjang tempoh ini, LRK telah melahirkan beberapa nama yang menjadi bukti program ini berjaya dalam aspek pembangunan modal insan dan kemahiran peserta," katanya.

Beliau memberikan contoh, pemenang tempat ketiga LRK 2014 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Kelantan telah memenangi Anugerah Pencapaian Cemerlang Festival Filem Kanak-kanak Asia di Jepun tahun lepas.

Bertemakan 'Inovasi Jalur Lebar-Gaya Hidup Digital Malaysia', LRK 2015 mempertandingkan beberapa kategori iaitu Video, Aplikasi Mudah Alih, Portal Internet dan satu kategori baharu iaitu Raspberry Pi  and  Arduino.--Bernama



Artikel Berikut

APMM Lepaskan Tiga Das Tembakan

Artikel Lain