suria

20 Kawasan Kekal Catat IPU Tidak Sihat Setakat 10 Malam Ahad

Pemandangan yang dirakam di atas Jambatan Tun Salahuddin dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 133 iaitu tidak sihat, pada 2 petang Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kawasan kekal mencatatkan rekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 10 malam Ahad, dengan Shah Alam di Selangor masih merekodkan bacaan tertinggi iaitu 156 berbanding 177 pada 7 malam.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan yang turut mencatatkan tahap IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Klang (155), Batu Muda (154), Petaling Jaya (143), Putrajaya (142), Samarahan (138), Cheras (135), Tanjung Malim, Sri Aman dan Banting (masing-masing 133), Kuala Selangor (126) dan Seremban (124).

Tujuh lagi kawasan dengan IPU tidak sihat ialah Kuching (118), Bandaraya Melaka (114), Jerantut (113), SK Jalan Pegoh, Ipoh (111), Bukit Rambai dan Port Dickson (masing-masing 110) manakala Seri Manjung (107).

Sementara itu, sebanyak 22 kawasan mencatatkan bacaan sederhana dengan Muar merekodkan bacaan tertinggi iaitu 88 diikuti Pasir Gudang (83), Tawau (79) dan Sarikei (76).

Tujuh kawasan mencatatkan IPU baik berbanding enam kawasan yang direkodkan pada 7 malam.

Kawasan itu adalah Kangar (20), Alor Setar (24), Langkawi (29), Perai (33) dan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (38), Tanah Merah (39) dan Seberang Jaya 2, Perai (46).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). 

Orang ramai boleh merujuk portal  http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai membasuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas menghadiri aktiviti luar.

Mereka juga digalakkan memasang alat pendingin hawa dan penapis udara di rumah jika mampu, berikutan keadaan jerebu yang masih tidak menentu.

Beliau berkata, langkah itu sebagai pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat pencemaran udara itu.

"Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru yang bertambah teruk diminta segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan di sini, malam Ahad.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai boleh mendapatkan langkah pencegahan mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau  www.moh.gov.my (info kesihatan). - Bernama

jerebu, Jabatan Alam Sekitar

Artikel Lain