suria

Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Tidak Dihentikan

JOHOR BAHARU: Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada Sabtu menegaskan operasi di lapangan terbang itu masih berjalan seperti biasa dan semua penerbangan hari ini mengikut jadual.

Ketua Pegawai Operasinya Noor Safura Suib berkata, setakat ini semua operasi di lapangan terbang itu berjalan lancar.

"Kita berdoa agar tiupan angin berpihak kepada kita dan membawa semua jerebu ini keluar dari Senai," katanya ketika dihubungi.

Kekeliruan berlaku apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLPP) membuat kenyataan perlawanan Piala Malaysia antara Kedah Johor Darul Tak'zim II yang dijadualkan di sini pada Sabtu malam ditunda kerana jerebu yang semakin buruk mengakibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ditutup pada Jumaat.

Difahamkan penerbangan skuad Kedah dari Pulau Pinang petang semalam dibatalkan berikutan keadaan jerebu di Senai.

Keadaan jerebu tebal itu memaksa empat syarikat membatalkan 21 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai awal pagi semalam.

Noor Safura berkata, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Rani Hisham Samsudin telah memperjelaskan keadaan sebenar kepada media, semalam.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Senai tidak ditutup dan beroperasi seperti biasa dan kesemua penerbangan dibatalkan adalah kerana keadaan jerebu," kata Mohd Rani.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara yang dicatat di kawasan Larkin Lama setakat 9 pagi tadi ialah 92 manakala Pasir Gudang (88).

Senai, Jerebu, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain