suria

Pasangan Kekasih Warga Thailand Ditahan Guna Cop Imigresen Palsu

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan dua warga Thailand kerana cuba kembali ke negara asal menggunakan cop lawatan palsu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS), Bukit Kayu Hitam awal pagi Jumaat.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, lelaki dan wanita yang mengaku pasangan kekasih berumur 50 dan 51 tahun itu, ditahan pada pukul 6.30 pagi di kaunter pemeriksaan Imigresen kompleks tersebut.

Pegawai Imigresen, katanya mendapati cop lawatan sosial dikeluarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu adalah palsu.

"Hasil siasatan, lelaki yang pernah bekerja sebagai buruh binaan di negara ini memberitahu cop itu diperoleh dari sindiket di Kuala Lumpur menerusi kakak kekasihnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Yusri berkata kedua-dua warga Thailand itu disiasat mengikut Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen kerana memiliki cop lawatan sosial palsu dan ditahan di lokap ICQS sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik. 

Thailand, Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain