suria

Bimbang Kecoh, Ramai Peniaga Petaling Street Mungkin Tutup Kedai Esok

PETALING JAYA: Petaling Street mungkin lengang pada sabtu ekoran ancaman yang diterima daripada penganjur penunjuk perasaan baju merah.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee berkata kira-kira 400 daripada 773 peniaga takut akan berlaku huru-hara seperti mana yang berlaku pada himpunan baju merah, 16 September lalu.

"Ahli-ahli telah menghubungi saya dan bertanya jika mereka perlu tutup kedai pada hari Sabtu. Mereka bimbang perniagaan akan terganggu.

"Saya nasihatkan mereka supaya membuat laporan polis. Kami takut sebab kami menjalankan perniagaan," kata Say Tee.

Beliau berkata, jika benar terdapat barangan palsu atau tiruan dijual di situ, bukan penunjuk perasaan baju merah yang patut mengambil tindakan terhadap para peniaga sebaliknya ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa.

"Jika kami buat salah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu mengambil tindakan terhadap kami, bukan mereka," kata Say Tee.

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengancam 'satu lagi kekecohan' di Petaling Street pada Sabtu jika tuntutan penunjuk perasaan baju merah tidak dipenuhi.

Antara tuntutan kumpulan itu supaya kementerian bertindak terhadap penjualan barang-barang di Petaling Street yang dikatakan tiruan dan para peniaga perlu berkongsi sebahagian daripada pendapatan mereka dengan kaum lain dan berhenti memonopoli kawasan itu.

Beliau berkata jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, perhimpunan lain akan dibuat, sambil menambah rusuhan juga mungkin boleh berlaku.

Jamal berkata beliau bertindak sebagai perantara antara kumpulan baju merah dan pihak berkuasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain