suria

"Cukup-Cukuplah" - Kata Nur Jazlan Kepada Jamal

Datuk Nur Jazlan Muhamad
PETALING JAYA: Penunjuk perasaan baju merah telah diberitahu supaya menghentikan ancaman mereka untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Petaling Street, Sabtu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Muhamad berkata, kumpulan baju merah sudah pun melontarkan apa yang ingin disuarakan mereka semasa perhimpunan pada 16 September.

"Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos perlu berhenti. Meneruskan dengan satu lagi perhimpunan sebenarnya mungkin tidak produktif kepada usaha-usahanya sebelum ini.

"Peluang telah diberikan kepadanya dan kumpulannya untuk menyatakan kebimbangan mereka, tetapi sekarang, cukuplah, berhenti," kata Nur Jazlan kepada The Star, Khamis.

Beliau berkata rakyat Malaysia diberi kelonggaran untuk melaksanakan kebebasan bersuara tetapi tanggungjawab itu perlu dihentikan apabila sensitiviti kaum disentuh.

"Sebab itu pihak polis mengambil tindakan. Malah sebagai orang Melayu, mengetepikan kedudukan saya sebagai timbalan menteri dan ahli Umno, saya pun rasa dia perlu berhenti," kata Nur Jazlan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertanya mengapa Jamal dan penunjuk perasaan baju merah mahu mengadakan satu lagi perhimpunan jika mereka telah menyampaikan mesej mereka dengan jelas pada 16 September.

"Adakah anda menyatakan perhimpunan pertama anda tidak berjaya jadi anda perlukan satu lagi perhimpunan? Orang ramai tak turun ke perhimpunan besar setiap minggu.

"Bersih mengadakan perhimpunan hanya sekali setahun, malah mereka mempunyai mesej besar untuk disampaikan dan mereka tidak mengancam rakyat."

Beliau berkata, perhimpunan 16 September telah mencemarkan negara disebabkan oleh 'mesej yang bersifat perkauman dan penghinaan', yang tidak membantu negara bergerak ke hadapan.

Mujahid juga mempersoalkan mengapa kumpulan baju merah mensasarkan Petaling Street, sambil menambah bahawa aduan mengenai barangan tiruan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa.

Ahli kumpulan G25, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim,  berkata tidak perlu untuk melakukan demonstrasi jalanan bagi menakut-nakutkan orang lain.

"Jika mereka mempunyai idea yang baik tentang bagaimana untuk membantu pihak berkuasa menangani barang-barang tiruan, mereka perlu mengadakan pertemuan dan berbincang."

Naib Presiden Gerakan Datuk A. Kohilan Pillay berkata Jamal dan penunjuk perasaan baju merah telah menyimpang jauh.

Beliau berkata, hak untuk komuniti di Petaling Street mencari makan dan menjalankan perniagaan mesti dihormati.

Aktivis sosial Anas Zubedy berkata pemimpin dan ahli Umno perlu membuat keputusan jika mereka mahu Jamal menjadi jurucakap mewakili mereka.

"Jika Umno mahu terus melakukan demonstrasi jalanan, maka Pemuda Umno harus mengatur dan memimpin, bukan seseorang seperti Jamal," kata Anas.

Artikel Lain