suria

Muflis: Rafizi Memangku Ketua Pemuda Umno Rasah

PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah, Rafizi Mahmud dilantik memangku jawatan ketua sayap  bahagian itu berikutan penyandangnya, Hassan Yop diisytiharkan muflis.

Menurut surat bertarikh 22 September yang ditandatangani Penolong Setiausaha Pemuda Umno Pusat, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, pelantikan itu merujuk kepada surat mengenai status Hassan yang diisytiharkan muflis dan digugurkan daripada jawatan ketua pemuda bahagian.

"Sukacita dimaklumkan bahawa saudara Rafizi Mahmud dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah yang berkuatkuasa pada tarikh surat di atas (22 September).

"Saya yakin dan percaya kepimpinan serta komitmen saudara untuk melaksanakan amanah ini, akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan dedikasi," kata Mohamad Sahfri menerusi surat kepada Rafizi itu.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan Hassan yang sah diisytiharkan muflis digugurkan daripada jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah yang disandangnya.

Tambah Mohamad Sahfri lagi, pelantikan itu diharap dapat menjadikan perpaduan serta kerjasama di kalangan ahli Pemuda Umno bertambah kukuh dalam meneruskan perjuangan agenda agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, menurut sumber dalaman Umno Rasah, pihaknya menerima keputusan mengenai pengguguran Hassan dan pemangkuan Rafizi berdasarkan arahan Umno Pusat dan perlembagaan parti.

"Kita di Umno Bahagian Rasah juga akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara ini untuk membincangkan tindakan susulan. InsyaAllah, perjalanan Pemuda Umno Rasah akan diteruskan dengan Rafizi memangku jawatan itu.

"Kita berharap Hassan akur terima berita pengguguran ini dengan hati terbuka," tambah sumber itu lagi.

Pada Selasa, mStar Online turut melaporkan mengenai surat  yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pengguguran jawatan Hassan sejajar Fasal 28.8 Peraturan Persidangan dan Seksyen 9(A)(1)(d) Akta Pertubuhan 1966.

Surat itu juga menyebut, status mesyuarat Pemuda dan Umno Bahagian yang dihadiri Hassan, masing-masing pada 3 dan 8 Ogos lalu tidak terjejas.


Rafizi Mahmud, Umno Rasah, Hassan Yob

Artikel Lain