suria

Dr Tan Harus Tuntut Siasatan Penuh Kebocoran Dokumen PAC - 1MDB

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw seharusnya menuntut agar siasatan penuh dan telus mengenai bagaimana dokumen sulit PAC berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) boleh jatuh ke tangan penerbitan media asing.

1MDB dalam kenyataan pada Rabu berkata Dr Tan, yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, pada masa sama perlu menasihatkan anggota parti itu, Tony Pua yang juga anggota PAC, bahawa seseorang itu tidak boleh memperkatakan tentang sesuatu perkara berdasarkan khabar angin atau tanpa bukti.

"1MDB menyambut baik nasihat oleh anggota Parlimen Kepong selama lapan penggal itu sebagai bijak dan tepat pada masanya, namun perlu mendapatkan bukti sebelum membuat tuduhan, dan mendukung kedaulatan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Kami percaya Dr Tan akan memberi nasihat yang sama kepada Tony Pua," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tuduhan Pua itu adalah dakwaan yang dikitar semula terhadap 1MDB, tetapi apabila jawapan dan fakta diberi, beliau terbukti salah.

Bagaimanapun, Pua tidak akan mengendahkan fakta, mengubah topik dan menunggu untuk membuat dakwaan sensasi dan tanpa bukti yang seterusnya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada nasihat Dr Tan bahawa seseorang itu 'tidak boleh menyatakan sesuatu perkara berdasarkan khabar angin' berhubung kebocoran dokumen sulit PAC kepada media asing.

Kenyataan beliau itu disiarkan oleh portal berita, semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain