suria

Khairuddin Ditahan Semula Ikut Sosma Selepas Bebas Reman

Khairuddin kini ditahan mengikut Sosma sebaik dibebaskan daripada tahanan reman, petang Rabu.

KUALA LUMPUR: Hanya beberapa minit selepas dibebaskan daripada tahanan reman, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada petang Rabu.

Peguamnya, Matthias Chang berkata, Khairuddin telah dibebaskan daripada tahanan reman di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada pukul 4 petang.

Bagaimanapun, bekas pemimpin Umno itu ditahan semula kerana kesalahan mengikut Seksyen 124k dan 124L Kanun Keseksaan iaitu berkaitan mensabotaj negara.

"Sebaik berjalan keluar dari mahkamah, Khairuddin ditahan semula dan kini dibawa ke Balai Polis Dang Wangi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Mengikut Sosma, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 29 hari.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu ditahan Jumaat dan direman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengancam demokrasi berparlimen.

Penahanannya dibuat di kediamannya bersama isterinya, pelakon Datin Seri Umie Aida Rahmat di Bukit Kiara dekat sini pada pukul 7.30 malam.

Pasukan polis juga merampas komputer riba dan telefon bimbit Khairuddin untuk tujuan pemeriksaan.

Pada hari sama beliau yang sepatutnya ke New York bersama peguamnya tidak dibenarkan ke luar negara atas sebab-sebab khas.

Beliau adalah ahli Umno pertama yang membuat laporan polis dan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain